User Rating: 0 / 5

Star InactiveStar InactiveStar InactiveStar InactiveStar Inactive
 

 

   Assalamualaikum  wbt

Alhamdulillah setinggi kesyukuran dirafakkan ke Hadrat Allah SWT kerana dengan izin kasih kurnia-Nya kita dapat menyambut tahun baharu iaitu Tahun 2020. Buat warga pendidik, PIBG, EXSAS, Anggota Kumpulan Pelaksana dan murid-murid SM Sains Sultan Haji Ahmad Shah(SEMSAS), saya ingin mengucapkan Selamat Tahun Baharu 2020. Terima kasih atas komitmen yang dicurahkan pada sepanjang tahun 2019.

Menyedari bahawa SEMSAS adalah salah sebuah Sekolah Berasrama Penuh(SBP) yang telah melahirkan ramai cendiakawan,ahli-ahli teknokrat, penjawat awam, usahawan di dalam berbagai bidang, maka menjadikan saya bertanggungjawab untuk meneruskan legasi SEMSAS di persada dunia. Saya ingin berkongsi dengan warga SEMSAS tentang  aspirasi yang telah saya jadikan sebagai penambahbaikan daripada yang telah dibawa oleh pengetua-pengetua terdahulu dengan memperkasa hala tuju SEMSAS bersesuaian dengan era milineium. 

Pertamanya, dari aspek pengurusan pentadbiran yang cekap dan berintegriti

Penyesuaian Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang menyatakan “Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh, dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis, dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani, berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri, serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara”. Maka di dalam aspek ini, saya akan memastikan pengurusan pentadbiran SEMSAS akan sentiasa kompeten dan berintegriti bagi memastikan dasar-dasar Kementerian Pendidikan Malaysia dijayakan. SEMSAS perlu dilihat sebagai institusi yang menjadi contoh kepada sekolah-sekolah SBP dan di Negeri Pahang di dalam pengurusan kewangan, pengajaran dan pembelajaran dan berbagai perkara lagi. 

Keduanya, dari aspek pencapaian akademik yang berkualiti

Sasaran GPS semua Tingkatan adalah gambaran kepada kecemerlangan sesebuah sekolah. Kualiti selalu dirujuk kepada peningkatan dan produktif. Memenuhi impian Kementerian Pendidikan di bawah kepimpinan YB Dr Mazlee Bin Malik, Menteri Pendidikan Malaysia yang menetapkan hala tuju pendidikan berteraskan nilai(Valuesdrivven education), maka pendekatan yang diambil di SEMSAS ialah membina potensi murid yang akan menghasilkan kemenjadian akademik dari segi kasih saying(love), kegembiraan(happiness) dan saling menghormati(mutual respect). Maksudnya di sini, kita menerima murid yang cemerlang dari aspek 3M dan ditambahkan dengan satu lagi elemen M iaitu “ manusiawi”.  Tanggungjawab SEMSAS adalah memanusiakan murid dari aspek kualiti ini. Bimbingan akademik yang berterusan di dalam program-program tertentu adalah antara usaha yang gigih untuk menggilap potensi akademik murid-murid di sekolah ini. Ketirisan mahupun keciciran di dalam menguasai kemahiran pembelajaran akan dipertingkatkan supaya hasrat kualiti A dapat direalisasikan oleh anak-anak SEMSAS. Kemahuan membudayakan ilmu tidak hanya ada pada murid tetapi seluruh warga SEMSAS termasuk para ibu bapa disarankan sentiasa memotivaskan diri untuk menzahirkan cinta ilmu. Insha- Allah.

Ketiga, dari segi keseimbangan sahsiah, akhlak terpuji dan kerohanian yang tinggi

Harapan ibu bapa adalah harapan kami jua. Anak-anak yang terpuji akhlaknya adalah amanah kita semua. Kerjasama para ibu bapa di dalam membentuk sahsiah mereka sangat dihargai. Contoh yang paling mudah ialah amalan membawa balik sampah sewaktu melawat anak-anak ini dapat memberi kesedaran kepada anak-anak bahawa persekitaran bersih dan hijau dapat dikekalkan. Solat berjemaah bukan dilihat sebagai rutin, tetapi pengisiannya yang sangat bermakna untuk perkembangan intektual dan kerohanian malah mewarisi tradisi agama. Saya amat berharap SEMSAS menjadi wadah terbaik mendidik dan membimbing murid-murid yang taat kepada Pencipta-Nya, Rasulullah SAW, pemimpin, ibu bapa malah pihak yang berkepentingan dengan SEMSAS. Tidak dinafikan kita menghadapi cabaran anak-anak yang bersosialisasi dengan kumpulan rakan sebaya, senior dan junior yang berkemungkinan mudah menghadapi tekanan, mudah membawa diri, pengurusan diri yang masih lemah dan berbagai masalah yang timbul. Saya akan menekankan pembinaan karektor, komunikasi, pengurusan diri dan memperkasa kemantapan sahsiah dan jiwa anak-anak SEMSAS. 

Terakhir,  dari aspek pencapaian kokurikulum berdasarkan minat

Pengaplikasian dasar-dasar kokurikulum SEMSAS adalah berdasarkan keperluan semasa negara. Inovasi di dalam STEM, reformasi digital, IR4.0 diserapkan di dalam pengurusan kokurikulum tanpa meninggalkan aktiviti yang menjadi tunjang asas murid-murid iaitu sukan dan aktiviti untuk kecemerlangan. Minat dan bakat murid-murid berbagai-bagai, hanya kita perlu memberi ruang kepada mereka. Beberapa peluang baharu akan kita terokai ditambah pula dengan penjimatan kos sebaik mungkin kita mengutamakan penyertaan di dalam negara tetapi diikhtiraf penyertaannya di peringkat antarabangsa. Saya amat menggalakkan penglibatan murid-murid SEMSAS di dalam pertandingan inovasi yang semakin kerap dianjurkan oleh banyak pihak di negara kita. Satu murid, Satu Projek dialu-alukan untuk semua. Maka dalam hal ini saya menyeru penglibatan para ibu bapa, EXSAS, Universiti Awam dan Swasta serta pelbagai agensi untuk membantu SEMSAS melahirkan murid yang serba boleh agar dapat berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan SBP elit di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Akhirul kalam, jutaan terima kasih sekali lagi saya ucapkan kepada semua pihak yang memberikan komitmen terbaik di sepanjang Tahun 2019. Marilah kita bersama-sama mendoakan agar pada Tahun 2020, SEMSAS dengan izin Allah SWT akan melakarkan potret kegemilangan dalam usaha memartabat dan menjulang SEMSAS di pentas dunia. HIDUP BERJASA.

HAJAH NORIDAH BT HAJI RAMLAN
PENGETUA

Go to top